Kempen Kesedaran & Pencegahan Covid-19 Menggunakan Paparan Trak LED

Kempen Kesedaran dan Pencegahan COVID-19

KOTA KINABALU, 7 Julai 2020 : Budaya media digital sabanhari telah menjadi semakin popular sejak kebelakangan ini. Kini banyak organisasi telah menukar kaedah pemasaran mereka kepada skrin diod pemancar cahaya digital atau LED (Light Emitting Diode). Salah satu cara untuk memaparkan skrin LED ini adalah melalui Trak Paparan LED. Paparan yang moden dan dinamik ini juga amat berkesan dan penting sebagai alat komunikasi. Ianya boleh digunakan untuk menyampaikan pelbagai jenis informasi seperti program dan aktiviti bagi mencapai tatapan yang lebih meluas. Ini termasuklah penggunaanya dalam Kempen Kesedaran dan Pencegahan Covid-19.

Sehubungan itu, Kempen Kesedaran dan Pencegahan Covid-19 diusahakan untuk membantu Kerajaan Negeri Sabah bagi menangani penularan Covid-19 dengan pengunaan teknologi moden, iaitu melalui Trak Paparan LED.

Kempen Kesedaran dan Pencegahan Covid-19 ini dilaksanakan oleh Sabah Net dengan sokongan dari Kementerian Pelajaran dan Inovasi (Sabah). Kempen ini dianggap penting dalam usaha untuk membantu pihak Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menangani penularan wabak Covid-19.